Thursday, August 27, 2009

Perutusan presiden PPI 09/10

Salam mahabbah saudara-saudari sekalian.

Segala puji bagi ALLAH, pencipta, pentadbir dan pengurus setiap sesuatu & penguasa segala urusan mencakupi urusan duniawi & ukhrawi.

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa puji dan syukur yang tidak terhingga banyaknya kepada ALLAH yang telah memanjangkan umur kita sehingga kita dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadhan. Inilah yang sering kita doakan : “Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”

Selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabat baginda.

Saudara-saudari yang dirahmati ALLAH,

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan keatas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan. Di bulan ini juga terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikanny a sesungguhnya dia rugi.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-nasai)

Demikianlah pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah SAW pada setiap kali menjelmanya bulan ramadhan. Rebutlah saudara-saudari sekalian akan kelebihan beramal dibulan ramadhan ini kerana di bulan ramadhan inilah terdapat satu malam yang sesiapa beramal dimalam tersebut, amalannya itu lebih baik dari seribu bulan dia beramal. Dan malam itulah yang disebut sebagai malam Lailatul Qadr. Oleh itu marilah kita sama-sama menanamkan niat dihati untuk terus meningkatkan amal ibadah sebagai persediaan untuk bertemu dengan yang maha Esa kelak. Saya mendoakan agar kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa dirahmati oleh ALLAH SWT.

Di kesempatan ini juga, saya mewakili saf pimpinan Persatuan Pengajian Islam(PPI) UNITEN sesi 2009/2010 yang baru sahaja dilantik mengucapkan selamat menyambut Ramadhan AL-mubarak 1430H. Moga-moga ianya menjadi satu medan untuk kita muhasabah diri masing-masing. Saya juga mengalu-alukan sebarang cadangan mahupun idea yang ingin dilontarkan kepada PPI untuk sesi kali ini. Tegurlah kami diatas setiap kesalahan yang kami lakukan. Marilah kita membudayakan kembali budaya nasihat-menasihati ini. Sesungguhnya, menegur pemimpin itu adalah merupakan satu jihad. Bantulah kami dalam membawa da’wah islam ini dengan sebaiknya.

“Di mana bumi dipijak, disitu Islam ditegak”

Wan Baihaqi Wan Ab Rahman

Presiden,

Persatuan Pengajian Islam 09/10.